Saturday, May 4, 2013

Hari Perpaduan Rakyat Malaysia 5 Mei 2013

Salam Perpaduan,

Setelah sekian lama mencari ilmu untuk membuat pilihan, saya telah membuat keputusan. Keputusan saya berdasarkan beberapa prinsip yang saya rasa ia betul dan bagus untuk negara tercinta. Apa yang saya ingin sampaikan di sini ialah saya ingin mengajak rakan rakan untuk menjadi rakyat malaysia yang bertanggungjawab pada negara dengan keluar mengundi dengan penuh ilmu di dada mengenai kesemua parti politik yang bertanding. Saya lebih pentingkan perkara ini berbanding parti mana yang kalian undi kerana kita rakyat malaysia perlu berubah demi merialisasikan perubahan pada negara kita.

Ya, perubahan politik yang lebih progresif itu penting tetapi mentaliti/sikap rakyat malaysia juga sangat penting untuk berubah. Malaysia mempunyai 28juta penduduk, yang terdiri daripada perlbagai kaum, agama, budaya, sosioekonomi status, pemikiran, pegangan prinsip dan sebagainya. Apabila terdapat pelbagai perbezaan, untuk hidup sejahtera dalam satu negara, kita perlu mula dengan persamaan. Persamaan dalam konteks ini ialah persamaan untuk bersama menjadikan malaysia yang lebih baik pada masa depan (For Better Malaysia).

Perubahan pada pemikiran kita penting untuk mencapai cita cita tersebut. Kita semua perlu tahu, kerajaan adalah milik rakyat, negara adalah milik kerajaan dan rakyat.

Adil dalam menilai.
Dalam isu pemilihan kerajaan (GE13), kesemua parti politik telah menyediakan Manifesto(PR)/AkurJanji(BN)/JanjiKami(Berjasa). Tugas kita untuk menilai setiap satu dengan penuh lapang dada. Carilah ilmu dari sumber yang betul. Jika ingin kenal BN, bacalah Media Arus Perdana atau dari mulut orang BN sendiri. Pastikan kita dapat manfaat tentang apa yang mereka mahu lakukan jika mereka menang dan janganlah kita dengar apa yang mereka katakan pada pihak lawannya kerana mereka semestinya tidak akan mengatakan perkara yang baik untuk pihak lawan. Hal ini perlu diguna-pakai pada PR dan BERJASA. Ceramah PR popular dengan jenaka mengutuk BN, bagi saya, ia tidak mendidik rakyat. Saya akui memang perlu menyampaikan kegagalan pihak BN dari segi janji yang tidak mereka tunaikan dan sebagainya, tetapi jika hanya fokus pada kegagalan pihak lawan tanpa fokus pada kekuatan sendiri, ia tidak akan memberikan hasil. Sebab itu saya lebih gemar mencari ilmu sendiri dengan membaca kesemua manifesto dengan sendiri dan menonton wacana/debat/perbincangan politik untuk mendapatkan ilmu yang benar. Setiap orang ada seleranya yang tersendiri, saya ajak rakan rakan berasa selera untuk cari ilmu dengan cara yang saya syorkan. Ketika media arus perdana yang terhad, tugas kita untuk mencari yang alternatif. Namun begitu, sumber dari portal/blog perlu dinilai dengan betul. Saya hanya akan membaca blog/portal yang memaparkan siapa penulisnya atau pengendalinya. Bagi saya, penulis yang memaparkan identitinya itu lebih tulus berbandingan penulis yang menyembunyikan identitinya. Ini kerana, jika mereka menulis perkara yang tidak benar atau fitnah, mudah untuk kita melaporkan pada pihak berkuasa. Selain daripada itu, kita boleh mengenali latar belakang/ tahap pendidikan/kerjaya seseorang penulis itu. Hal ini kerana, penulisan seseorang itu selalunya akan berkait rapat dengan latar belakangnya.

Saya kurang gemar untuk menilai sesuatu parti itu berdasarkan gosip atau khabar angin atau flyers yang tidak tertulis syarikat percetakan atau sumber pengeluar. Ini kerana gosip/khabar angin/flyers ini jika fitnah, kita sukar untuk membawa kemuka keadilan. Kita boleh menyebarkan perasaan benci tetapi perasaan benci tidak dapat memajukan negara atau sejahterakan masyarakat. Sebab itu undang undang yang menghukum para penfitnah perlu tegas agar perkara ini dapat dikawal. Namun begitu kita seringterdedah dengan facebook dan twitter, saya sedar undang undang sahaja tidak boleh mensejahterakan semua perkara, oleh itu KITA sendiri yang perlu menolak penyebaran gosip/khabar angin/flyers. Jika kita tolak, tidak layan, inshAllah mereka tidak akan menghasilkan gosip/khabar angin/flyers ini lagi. "Jika tidak ada pembeli, penjual tidak akan menjual"

Manifesto Populis
Manifesto yang dihasilkan oleh kesemua pihak dikatakan populis kepada rakyat. Lebih mesra rakyat, dengan menyediakan pelbagai habuan. Bagi saya, mereka telah menyediakan manifesto sedemikian kerana mereka sedar terdapat rakyat yang menderita akibat kos hidup yang makin tinggi. Mungkin sebilangan dari kita rasa kedua dua belah pihak memperuntukan belanja yang besar untuk tampung rakyat dan seterusnya menjadikan rakyat malaysia yang terlalu bergantung pada kerajaan. Saya setuju dengan pandangan ini kerana sampai bila rakyat malaysia perlu bergantung pada hasil kerajaan, sumber minyak ialah sumber yang tidak boleh diperbaharui, ia akan habis satu hari nanti. Dasar yang boleh merancakkan ekonomi sambil dapat mengeluarkan rakyat dari kemiskinan itu penting.
Namun begitu, jurang antara rakyat yang sangat kaya dan rakyat yang sangat miskin makin merisaukan. Bagi saya mungkin sebab itu kes kecurian, rompak atm bank, ragut berleluasa. Oleh itu kedua parti menyediakan manifesto untuk mensejahterakan rakyat dengan harapan dapat membantu rakyat. Saya yakin ia tidak dapat mensejahterakan semua. Ini kerana maksud sejahtera kita adalah berbeza bergantung pada sosioekonomi. Bagi rakyat yang telah ada kereta, rumah, kerjaya pegawai, ketua syarikat, guru besar, tidak sama maksud sejahtera berbanding dengan rakyat yang masih kerja sendiri, berniaga,orang muda, keluarga besar tetapi miskin. Kita perlu tahu, apa yang kita PERLU ialah berbeza dangan apa yang kita MAHU.
Oleh itu undilah atas dasar menifesto yang sesuai dengan diri anda. Kerana manifesto ini semua untuk kita semua.
Manifesto yang berjaya Akan memberi kemenangan pada parti tersebut.

Rakyat perlu berubah demi mancapai perubahan pada negara. Kita tidak boleh mengharap dengan mengubah kerajaan kita dapat mengubah kesulurahannya.

RAKYATsendiri perlu bebas dari rasuah, duit kopi tepi jalan, perkauman, fitnah, ketidak adilan, pergantungan pada kerajaan, kronisme dalam pengurusan, adil dalam menilai setiap perkara, tidak diskriminasi, berbaik dengan yang lain, amanah dalam kerja dan pengurusan wang, mengamalkan islam dalam setiap perkara, bertanggungjawab pada negara dan sebagainya.

Kitatidak mahu perubahan kerajaan itu seperti perubahan kosmetik, luaran atau rupanya sahaja yang bertukar tetapi isinya masih lama, tidak berkualiti.
Oleh itu, jika perubahan kerajaan berlaku, perubahan rakyat juga sangat diperlukan. Walaupun jika tiada perubahan kerajaan, perubahan rakyat tetap diperlukan.

Saya berpegang kepada kuasa ketiga atau boleh dinamakan kuasa rakyat. Bagi saya, tiada parti politik di dunia ini yang sempurna kerana parti itu dihasilkan oleh manusia. Tetapi manusia diberikan akal fikiran untuk berfikir, menganalisa pilihan yang kita ada. Berjuanglah atas dasar keperluan rakyat, bukan atas dasar kepentingan golongan pemerintah. Pemerintah itu hamba rakyat, kerana rakyat memberi mandat kepada pemerintah untuk memerintah. Ya, pemerintah itu perlu dihormati kerana bukan senang untuk memimpin, tetapi biarlah kita mengikut dengan berakal. Perkara yang salah, kita perlu ditentang, dikritik dan perkara yang betul perlu disokong dan puji.

Parti politik adalah medium untuk digunakan oleh rakyat malaysia untuk mencapai matlamat rakyat malaysia. Jika digunakan bahasa kasar, Rakyat perlu memperKudakan parti politik demi kepentingan rakyat. Kuda yang rakyat pilih perlulah yang dari baka yang berkualiti iaitu mempunyai dasar yang jelas yang memihak pada rakyat keseluruhannya. Kuda yang rakyat perlulah berkuasa kuda yang tinggi iaitu mempunyai kepintaran pemimpinnya dalam menguruskan masalah rakyat dan juga menghasilkan dasar dasar yang berkualiti di Parlimen. Kuda yang rakyat pilih perlu sihat tidak sakit iaitu tidak taksub pada politik kotor, politik perkauman, tidak mempunyai kanser rasuah dan pilih bulu. Kuda yang dipilih oleh rakyat perlu kuat seperti kuda yang berlari laju terus kedepan iaitu tidak memusnahkan negara, tidak memundurkan negara dari perlbagai aspek ini kerana kuda sememangnya tidak boleh lari kebelakang. Jika kuda yang kita telah pilih itu sakit ketika berlumba, wajiblah kita untuk menukar kuda yang baru yang mempunyai ciri ciri yang telah disebutkan tadi. Kuda boleh ditukar dan terus ditukar sehingga tamat perlumbaan. Namun ingatlah, perlumbaan ini tidak akan tamat sehingga kiamat, ini kerana selagi mana manusia hidup di muka bumi ini, manusia akan terus berusaha untuk mencapai matlamat iaitu sebuah negara yang lebih baik. Sememangnya fitrah manusia untuk memerlukan hari esok yang lebih baik dari hari ini. Oleh itu Perjuangan Rakyat tidak akan tamat selagi mana wujudnya manusia di muka bumi ini.

Bukan kerusi pangkat kamu yang kami mahu, bukan harta kamu yang kami mahu, tetapi kami mahu amanah kamu dalam menguruskan harta negara kami, kebijaksanaan kamu untuk menguruskan perbezaan kami, ketulusan kamu melaksanakan tugas kamu di Parlimen, kejujuran kamu dalam memelihara hak kami seluruh rakyat Malaysia.

Akhir kata, 5 Mei 2013 adalah hari penyatuan rakyat kerana rakyat akan bersatu untuk melantik pemerintah untuk jangka masa 5 tahun. Bersatulah atas dasar ilmu bukan khabar angin, bersatulah atas dasar kepentingan rakyat bukan peribadi, bersatulah atas dasar mengingingkan sebuah negara yang lebih baik bukan kekal baik, bersatulah atas dasar tanggungjawab agama dan kemanusian!

No comments: